ETIKA MEMANCING
Membawa balik ikan yang diperlukan sahaja.
Tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Sentiasa meningkatkan ilmu memancing.
Mematuhi peraturan memancing dan pengendalian peralatan
memancing.
Menghormati hak-hak pemancing lain.
Menghormati peraturan kolam atau lokasi pancing
persendirian.
Menyebarkan pengetahuan sesama pemancing.
Menyokong usaha-usaha memelihara alam sekitar.
Tidak melepaskan ikan dan tumbuhan ke dalam lokasi pancing.
Berusaha membangunkan industri pancing.
KEKALKAN IKAN SEGAR
BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu
atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail
cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan.
Menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika
memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam
uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus
hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram).
Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika
meronta, jaring koyak dan ikan terlepas.
Paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling
banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan
yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar
walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang
diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika
membelinya. Biar alah membeli, menang memakai.
Banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih
empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar
mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang
perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada
terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di
dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan
surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi
busuk.
Membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak
diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya
ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh
dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan
berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi
akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan
yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon
ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein.
Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang
pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas
ikan yang besar sahaja.
LESUNG BATU RUMAH IKAN
MUNGKIN sukar bagi seorang pemancing untuk mencari lubuk
ikan yang tidak pernah habis dengan ikan-ikan di dasarnya. Lazimnya kita biasa
mendengar tayar atau kereta buruk dijadikan tukun untuk ikan berkampung di
sekitarnya.
Mengikut petua, anda boleh membuat lubuk ikan anda sendiri
tetapi mungkin mengambil masa yang agak lama. Dapatkan satu lesung batu yang
sudah berlubang di bahagian tengahnya. Pastikan anda tidak membuat lubang dan
ianya terjadi kerana sudah terlalu lama digunakan.
Campakkan lesung batu berkenaan ke mana-mana bahagian sungai
yang anda suka, ikan akan berkumpul di situ.Kalau nak tahu cuba buat…
JANGAN MELANGKAH JORAN
Mungkin ramai yang percaya apabila joran dilangkah, ia akan
dilanda ‘suwey’ dan joran tersebut sudah tidak ‘ong’ lagi. Amalan ini adalah
perkara biasa kepada kaki pancing, tetapi masih ada yang tidak percaya dan
tidak menghiraukan pantang larang tersebut.
Mereka menganggap ia cuma dusta orang-orang tua zaman
dulu-dulu.Tidak dinafikan sesetengah pantang larang adalah untuk mendidik kita
untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak sopan dan sesetengah pantang larang
pula adalah tahyul semata-mata.
Joran adalah sebuah alat yang digunakan sejak zaman nenek
moyang kita lagi untuk mencari rezeki. Adalah tidak sopan untuk kita melangkah
sebuah alat yang digunakan untuk mencari rezeki sama seperti kita melangkah sepinggan
nasi yang kita ingin makan.
Walaupun pendekatan nenek moyang kita menggunakan pendekatan
menakutkan kita dengan mengatakan apabila joran dilangkah rezeki sudah tidak
datang, ia boleh menimbulkan keraguan kepada kita. Pada pokok pangkalnya mereka
hanya ingin kita terus menghormati alat yang digunakan untuk mencari rezeki.
Kebanyakan pemancing kini sudah tidak menghiraukan
kebanyakan pantang larang orang tua-tua dan sudah tidak berminat dengan pantang
larang tersebut. Ambillah sesetengah pantang larang sebagai ikhtibar dan jangan
mengambilnya bulat-bulat kerana boleh menyebabkan kita percaya kepada yang
takhyul sebaliknya jadikannya bekalan ilmu kepada kita.
ASAM PENGUBAT MABUK LAUT
Memancing laut dalam adalah sangat menyeronokkan namun ia
merupakan suatu dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi apabila mabuk laut.
Laut yang bergelora dan ombak menghempas dikala panas terik menyebabkan para
pemancing tumpas dek terkena mabuk laut.
Pelbagai petua dan tips yang digunakan pemancing termasuk
menggunakan teknologi moden seperti ubat mabuk yang berada di pasaran.
Kekurangan air didalam badan dan hempasan laut yang bergelora menyebabkan para
pemancing boleh tumpas apatah lagi apabila kepanasan yang melampau waktu tengah
hari melemahkan lagi mangsa mabuk laut.
Memakan buah yang masam dan minum air yang secukupnya boleh
memberikan kelegaan kepada kaki pancing dari mabuk dan sekaligus dapat
mengelakkan para pemancing dari terus mabuk dan membantutkan keseronokan
memancing.
Membawa gula-gula dan sentiasa memastikan mulut tidak kering
boleh mengelakkan dari mabuk dan memberikan keselesaan kepada badan para
pemancing.
Para pemancing dinasihatkan meminum air secukupnya dan
jangan biarkan perut kosong dan dalam berkeadaan letih. Walau perbagai dugaan
untuk memancing, para pemancing adalah lasak dan akan terus berjaya untuk
menaikkan tangkapan seterusnya tidak kira apapun dugaan yang mendatang.
No comments:
Post a Comment
Senarai Comment Tertinggi Di Sini